Pages

Ads 468x60px

E M P A T R A C U N H A T I

Ingatlah! Di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah anggota tubuh seluruhnya dan apabila ia binasa maka binasalah anggota tubuh seluruhnya. Ingatlah! Itu adalah HATI”. Terdapat banyak perkara yang boleh menjadi racun hati seterusnya merosakkan hati tersebut. Namun antara racun hati yang paling merbahaya adalah seperti berikut;



Berlebihan Dalam Berbicara

Rasulallah SAW bersabda ertinya : “Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba, sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya”.(Riwayat Ahmad dari Anas Bin Malik) Sabda Baginda lagi : “Barangsiapa dapat beri jaminan kepadaku untuk menjaga sesuatu yang berada di antara kedua dagu (lisannya) dan kedua pahanya (kemaluannya), maka aku akan menjamin masuk syurga.” (Riwayat Bukhari). Manakala jenerasi salafussoleh sering mengungkapkan nasihat tentang waspada dengan lisan. Antara kata-kata yang masyhur adalah: Abdulallah bin mas’ud RA berkata: “Hai lisanku, katakanlah yang baik, engkau akan beruntung. Jangan berkata yang buruk, engkau akan selamat. Ingatlah dan camkan ini. Sebelum engkau menyesal.”. Ibnu Abbas RA berkata: “Sesungguhnya telah sampai keterangan kapadaku bahawa tiada satu anggota tubuh yang lebih memberatkan manusia,selain lidahnya kecuali bagi orang yang menggunakan untuk manyatakan yang hak atau mengajarkan yang baik.”.Jelas daripada sabda Rasulallah SAW dan kata-kata salafussoleh di atas dapatlah kita rumuskan bahawa tergelincir dalam mengeluarkan kata-kata dari lidah akan menyebabkan sesuatu yang buruk bagi kehidupan di dunia apatah lagi di akhirat. Sesungguhnya lisan mampu menjadi racun berbisa kepada hati serta diri apabila ia tidak digunakan dan dimanfaatkan sewajarnya.



Berlebih-lebihan Dalam Memandang Sesuatu

Berlebihan dalam memandang sesuatu akan merosakkan kesucian hati manusia dan memberi kesan yang amat negatif. Seterusnya kesan ini pula sukar untuk dikikis dan dibuang dari benak fikirannya. Rasulallah SAW bersabda: “Tidaklah seorang muslim melihat kecantikan seorang perempuan kemudian ia menundukkan pandangannya melainkan Allah menilai sebagai amal ibadah yang akan dia rasakan manisnya” (Riwayat Ahmad). Dalam riwayat yang sama Rasulallah SAW juga pernah bersabda: “Pandangan adalah satu anak panah yang dimiliki iblis, barangsiapa yang memejamkan pandangan kerana Allah maka dia akan memberikan rasa manisnya iman dalam hatinya, sampai pada hari dimana ia menghadapnya”. Sungguh besar bencana yang menimpa akibat daripada pandangan.

Pandangan merupakan pintu gerbang yang pertama yang menggerakkan hati dan pancaindera lain menuju kearah kemaksiatan dan kerosakan iman. Melepaskan pandangan secara liar merupakan kemaksiatan yang nyata. Ia menyebabkan hati sentiasa diliputi kegelapan, angan-angan kosong, sehingga membuka peluang dan memudahkan syaitan mengiringinya menuju kearah kemaksiatan yang lebih besar dan hina.



Berlebihan Dalam Makan

Miqdad berkata bahawa Rasulallah SAW bersabda: “Anak Adam tidak memenuhi wadah yang lebih buruk, daripada ia memenuhi perutnya. Cukuplah baginya beberapa suap sahaja untuk menguatkan tulang badannya. Jika ia memang sesuatu yang tidak mungkin baginya, maka penuhilah sepertiga makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Riwayat Ahmad dan Tarmizi) Amirul mukminin Umar bin al-Khattab RA salah seorang sahabat terkenal sebagai zuhud manasihatkan: “Hati-hatilah terhadap berlebihan dalam kekenyangan, sebab itu merupakan beban yang berat dalam hidup dan akan berbau busuk sewaktu mati”. Luqman pernah menasihati anaknya dan berkata: “Hai anakku, bila lambung ia penuh, fikiranmu akan pendek, kebajikan menjadi beku dan anggota badan menjadi malas untuk beribadat”.



Berlebih-lebihan Dalam Bergaul

Manusia adalah makhluk Allah yang bermasyarakat. Oleh itu mereka tidak terlepas dari bergaul dan berhubung antara satu sama lain. Islam telah menyusun dan merangka cara, adab, dan hak dalam kita berinteraksi sesama manusia contohnya bagaimana interaksi antara ibu bapa dan anak-anak, antara saudaranya, ipar, atau kaum kerabat yang lain, begitu juga dengan jiran tetangga, sesama rakan dan sebagainya. Apabila seseorang itu mengikut lunas-lunas syarak ketika bergaul dan berinteraksi maka ia menjadi suatu ibadah. Namun apabila pergaulan ini terseleweng dari batas dan landasan syarak maka seseorang itu akan terjerumus ke lembah maksiat. Rasulallah SAW telah mengingatkan umatnya tentang batas pergaulan ini dengan sabdanya: “Jangan sekali-kali seorang lelaki bersendiri dengan seorang perempuan, melainkan si perempuan itu bersama dengan mahramnya”. (Bukhari, Muslim dan Ahmad) Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Jabir bahawa Rasul SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah sesekali ia menyendiri dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya (bagi perempuan itu). Kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan”. Sebahagian besar ibu bapa merasa bangga apabila anaknya telah mempunyai “teman lelaki”. Atau merasa megah anaknya menjadi idaman atau rebutan “kumbang-kumbang di taman”. Malah mereka akan merasa malu, rungsing dan gusar atau menjadi suatu yang aib apabila anak perempuan mereka masih belum mempunyai teman lelaki. Hubungan lelaki dan perempuan sebelum alam perkahwinan sebagai suatu yang biasa. Alam pertunangan pula sebagai tiket keluar berdua bersama!. Jika inilah pandangan kita maka sebenarnya kita telah jahil didalam memahami syariat Saidina Muhammad Bin Abdullah.